Tewas 3-0 Kepada Perak, Sabah Perlu Bangkit Buru Kemenangan

Foto Perak TGB

KOTA KINABALU: Kekalahan 0-3 kepada Perak dalam aksi pembukaan Piala Malaysia perlu dijadikan pengajaran untuk Sabah bangkit memburu kemenangan apabila turun menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, esok.

Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata kekalahan itu memang mengecewakan mereka namun ia bukanlah penamat kerana saingan masih di peringkat awal.

Foto Perak TGB

“Kekalahan memang mengecewakan tetapi perlu sedar kekalahan bukan penamat dalam saingan Piala Malaysia ini tetapi ia permulaan cuma keputusannya kurang baik dan menjejaskan sedikit rentak kami.

“Kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan esok, bukan senang untuk bangkit daripada kekalahan tetapi ia bukan mustahil juga, kini terpulang kepada pemain bagaimana mereka menanganinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, kemenangan dalam aksi malam esok juga penting bagi memastikan mereka terus berpeluang untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Saingan Piala Malaysia bukanlah mudah kerana kedudukan hanya ditentukan dalam enam perlawanan saja.

“Adalah penting untuk kita supaya tidak terus keciciran mata dan oleh sebab itu kita perlu memenangi aksi bertemu Pulau Pinang,” katanya.

Jelius berkata, beliau kemungkinan besar akan mengekalkan kesebelasan utama untuk aksi di Pulau Pinang.

“Cuma saya mungkin akan pertimbangkan untuk menyenaraikan Maxsius (Musa) dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Jenius (Karib), kita akan lihat nanti macam mana,” katanya.

Harian Metro