Bot Karam Di Pitas: Operasi Mencari Seorang Lagi Mangsa Diteruskan

Anggota Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan operasi SAR di Tanjung Berungus, hari ini. Foto Ihsan PPM

KOTA KINABALU, 7 Ogos: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari Lili Sumansi Suhaimi, 20,  seorang lagi mangsa bot karam di perairan Tanjung Berungus, Pitas, diteruskan pagi ini.

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, operasi SAR itu ditangguhkan pukul 6.30 petang semalam berikutan keadaan cuaca di lokasi pencarian agak buruk.

Semalam, empat daripada lima mangsa bot karam berkenaan ditemui penduduk kampung, termasuk dua mangsa lelaki disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mustaib Muimin dan Suhaimi Salleh, manakala dua yang selamat ialah Mardi Suhaimi dan Owya Timbangan. Kesemua mangsa berasal dari Kampung Malubang, Pitas.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam, kesemua mangsa menaiki bot ke Kudat untuk membeli barangan keperluan dan sekitar pukul 11 pagi mereka bergerak pulang ke Pitas.

Ketika dalam perjalanan, berlaku angin kencang menyebabkan bot berkenaan terbalik, sebelum karam.

BERNAMA

13