Bot Karam Di Pitas: Operasi Mencari Seorang Lagi Mangsa Disambung Esok

Anggota PPM melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Kampung Berungus. – Foto ihsan polis

KOTA KINABALU, 7 Ogos: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot karam di perairan Tanjung Berungus, Pitas, Lili Sumansi Suhaimi, 20,  dihentikan kira-kira pukul 1 petang tadi ekoran keadaan cuaca yang tidak baik.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Mohd Izaan Abdullah berkata keadaan angin kencang dan ombak yang tinggi memaksa pasukan SAR menghentikan operasi itu dan akan disambung semula esok.

Semalam, empat daripada lima mangsa bot karam berkenaan ditemui penduduk kampung, termasuk dua mangsa lelaki disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mustaib Muimin dan Suhaimi Salleh, manakala dua yang selamat ialah Mardi Suhaimi dan Owya Timbangan. Kesemua mangsa berasal dari Kampung Malubang, Pitas.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam, kesemua mangsa menaiki bot ke Kudat untuk membeli barangan keperluan dan pukul 11 pagi mereka bergerak pulang ke Pitas.

Ketika dalam perjalanan, berlaku angin kencang menyebabkan bot berkenaan terbalik, sebelum karam.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *