Sabah Kemuka Senarai Calon Isi Jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS

KOTA KINABALU, 7 Ogos: Kerajaan Negeri akan mengemukakan senarai calon berkelayakan bagi memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk K Y Mustafa pada 1 Ogos lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin selaku Canselor UMS termasuk pihak pengurusan universiti itu bagi meneliti kebolehan dan keupayaan calon bakal dilantik menyandang jawatan berkenaan.

“Surat peletakan jawatan (K Y Mustafa) telah diterima. Senarai calon menggantikan beliau akan diteliti terlebih dahulu kerana apa yang lebih penting adalah kebolehan mengurus tadbir UMS dan generasi anak yang belajar di UMS,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peletakan jawatan K Y Mustafa sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UMS selepas dilantik menyandang jawatan berkenaan pada 1 Nov tahun lepas.

Tempoh pelantikan K Y Mustafa yang juga bekas Setiuasaha Kerajaan Negeri Sabah itu adalah sehingga 31 Okt 2021, namun, beliau mengambil tindakan meletakkan jawatan kerana difahamkan tidak berpuas hati dengan Kementerian Pendidikan kerana membelakangi Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Naib Canselor UMS.

Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin telah dilantik sebagai Naib Canselor UMS baharu menggantikan Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkuatkuasa 30 Julai lepas, bagaimanapun, pelantikannya itu mencetuskan kontroversi kerana kementerian berkenaan tidak berbincang dan memaklumkan Kerajaan Negeri Sabah berhubung perkara itu.

Mohd Shafie berkata, pelantikan Naib Canselor UMS sememangnya hak kementerian berkenaan, namun, kementerian juga harus sedar bahawa UMS mempunyai pengurusan dan perancangan tertentu untuk membolehkan UMS menjadi satu institusi cemerlang.

“Beliau (K Y Mustafa) ada memaklumkan (peletakan jawatan) dan saya sudah mencuba yang terbaik dengan memberi pandangan supaya beliau tidak meletakkan jawatan. Beliau rasa ada perjalanan pengurusan, pentadbiran tidak menerusi perundingan teratur dan pelantikan Naib Canselor dilakukan kementerian.

“Saya tahu ia hak mereka (kementerian melantik naib canselor) tetapi perbincangan dengan Kerajaan Negeri perlu bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan lancar kerana sektor pendidikan amat penting. Ini harus menjadi peringatan kepada agensi pusat tentang perkara berlaku di peringkat Sabah dan negeri lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata peletakan jawatan K Y Mustafa adalah satu kehilangan buat UMS kerana beliau adalah seorang tokoh berpengalaman luas yang dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah UMS oleh Kerajaan Negeri berdasarkan kebolehannya dalam pengurusan pentadbiran dan bahagian latihan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *