Misteri Bau Busuk Terungkai, Mayat Lelaki Korea Ditemui Tergantung Di Sebuah Kondominium Di Luyang

Anggota polis mengusung mayat mangsa selepas ditemui tergantung di balkoni tingkat satu, kondominium, Jalan Kebajikan Luyang, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Polis


Kota Kinabalu: Misteri bau busuk yang dihidu penghuni sebuah Kondominium di tingkat satu, Jalan Kebajikan, Luyang terungkai selepas mayat seorang lelaki ditemui tergantung malam tadi.

Mayat lelaki warga Korea berusia 46 tahun ditemui di bahagian balkoni rumah yang disewanya dalam keadaan hampir reput kira-kira pukul 7 malam.

Difahamkan, pengawal keselamatan di kondominium itu menerima aduan daripada penghuni berhampiran lalu membuat pemeriksaan dan menemui mayat mangsa tergantung di bahagian balkoni rumah di tingkat satu.

Susulan itu, pengawal keselamatan memaklumkan kepada pihak pengurusan dan seterusnya menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

“Hasil pemeriksaan awal, dipercayai lelaki terbabit sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang hampir reput.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat,” katanya.

Habibi berkata, siasatan masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SabahNewsToday

50