Bot Karam Di Pitas: Dua Selamat, Dua Maut, Seorang Masih Hilang

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 6 Ogos: Tiga lagi mangsa bot karam di perairan Tanjung Berungus, Pitas, tengah hari tadi, ditemui penduduk kampung termasuk dua mangsa lelaki disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Mohd Izaan Abdullah berkata berikutan penemuan itu jumlah keseluruhan mangsa ditemui adalah empat orang termasuk seorang wanita yang ditemui selamat sebelum ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

“Menurut maklumat yang diterima, mangsa terdiri daripada lima orang iaitu tiga lelaki dan dua wanita dewasa. Difahamkan, awal pagi tadi, semua mangsa bergerak dari Kampung Malubang, Pitas dengan menaiki bot iaitu perjalanan mengambil masa kira-kira lebih satu jam ke Kudat.

“Mereka ke Kudat untuk membeli barang keperluan dan sekitar jam 11 pagi mereka bergerak pulang ke Pitas dan ketika dalam perjalanan angin kencang berlaku iaitu kira-kira jam 12.30 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Izaan berkata, ekoran keadaan cuaca buruk, bot mereka naiki dipukul ombak dan terbalik.        

“Seorang mangsa wanita diselamatkan oleh penumpang sebuah bot yang dalam perjalanan menuju ke Kampung Naruntung, Pitas. Mangsa kemudian dihantar ke Kampung Berungus, Pitas dan sebaik mengetahui kejadian itu, sebuah bot dari kampung berkenaan keluar untuk mencari mangsa yang lain.

“Penduduk kampung kemudian menemui tiga mangsa yang lain dimana seorang terselamat manakala dua lagi sudah meninggal dunia termasuk pemandu bot berkenaan dan seorang lagi mangsa wanita belum ditemui,” katanya.

Katanya, usaha mencari mangsa masih diteruskan.

BERNAMA

26