Larangan Aktiviti Perlombongan Arang Batu Di Lembangan Maliau Kekal

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mempunyai pendekatan lain untuk menjana sumber tenaga elektrik tanpa bergantung kepada sumber arang batu dari Lembangan Maliau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan atau meluluskan sebarang aktiviti perlombongan arang batu di kawasan berkenaan.

“Sebarang permohonan untuk perlombongan arang batu di negeri ini membabitkan kawasan Lembangan Maliau tidak akan diluluskan.

“Walaupun kita mengatakan terdapat permintaan untuk membuat industri  arang batu, ia sudah pun ada di negara jiran, Singapura dan Semenanjung.

“Kalau kita mahu penggunaan arang batu sebagai alternatif sumber tenaga yang ada, kita boleh mendapatkan dari Kalimantan yang mana harganya agak murah.

“Tetapi itu, bukanlah satu langkah yang kita akan lakukan, kita malihat bahawa bagaimana kerajaan negeri mendapat bekalan elektrik yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) berkenaan jaminan kerajaan negeri untuk tidak melombong arang batu di kawasan Lembangan Maliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan mempunyai beberapa pendekatan untuk digunakan dalam menghasilkan tenaga baharu seperti empangan sungai Padas sedia ada.

“Ia adalah untuk membolehkan kita membangunkan penjanaan kuasa yang ada kerana kita tahu antara faktor yang memungkinkan pelabur yang datang ke sini.

“Jika pelabur datang ke Sabah tetapi perkhidmatan yang kita berikan tidak stabil, sudah pasti pengeluaran mereka juga tidak mampu untuk bersaing dengan Semenanjung mahupun Sarawak,” jelasnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *