Setengah Jam Tahan Azab Sebelum Diselamatkan Bomba

Mangsa yang kesakitan selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dikeluarkan oleh anggota bomba. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

30 MINIT TAHAN AZAB SEBELUM DISELAMATKAN BOMBA

PAPAR: Seorang lelaki menahan sakit hampir setengah jam sebelum diselamatkan anggota bomba selepas kereta dipandunya terbabas lalu masuk ke dalam parit di Kampung Rampazan, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa Jaidi Jaimin, 20-an, yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu cedera di kaki.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat terbabit kemalangan di Kampung Rampazan, Papar. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.12 pagi, pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bergegas ke lokasi kemalangan.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai terbabas sendiri dan melanggar tiang Telekom di tepi jalan sebelum masuk ke dalam parit.

“Mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kemudian berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera di kaki kemudian dihantar menggunakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Papar untuk menerima rawatan lanjut.

“Pasukan bomba seterusnya melakukan pemeriksaan di lokasi kemalangan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum beredar. Operasi tamat pada pukul 9.40 pagi,” katanya.

Terdahulu, operasi menyelamat membabitkan seramai 12 anggota bomba termasuk pegawai dari BBP Papar.

SabahNewsToday