JPN Sabah Bertemu Mangsa Kebakaran Di Tongod Bantu Ganti Dokumen Terbakar

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah hari ini bertemu mangsa kebakaran di Kampung Pinangah, Tongod, Sandakan bagi membantu menggantikan dokumen penduduk yang terbakar.

Pengarah JPN negeri, Datuk Ismail Ahmad berkata unit bergerak JPN itu akan membantu menggantikan sijil kelahiran, sijil kematian, kad pengenalan dan MyKid.

“Untuk sijil kelahiran melibatkan gantian sebanyak 39 orang, kad pengenalan (16 orang), MyKid (tiga orang) dan sijil mati (satu),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada 30 Julai lalu, sebanyak 29 buah rumah hangus, sebuah tadika dan dua kenderaan serta sebuah kuarters Klinik Kesihatan rosak 15 peratus akibat kebakaran itu.

Seorang lelaki berusia 63 tahun turut disahkan meninggal dunia selepas 90 peratus badannya melecur akibat kebakaran itu.

BERNAMA