Pelancong Masih Ke Semporna

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Pulau Bohey Dulang di Semporna, mencatatkan pulau yang kerap dikunjungi di daerah itu dengan menerima seramai 109,595 pelancong, pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata berdasarkan statistik Taman-Taman Sabah, daripada jumlah itu, seramai 85,038 orang ialah pelawat antarabangsa, manakala pelancong domestik seramai 24,557.

Beliau berkata, bagi tempoh enam bulan pertama pada tahun ini pula, jumlah ketibaan pelawat ke Pulau Bohey Dulang seramai 60,013 orang dengan pelancong antarabangsa seramai 34,204, manakala pengunjung domestik seramai 16,809 orang.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu. Bagaimanapun, statistik ketibaan pelawat tidak direkodkan mengikut setiap daerah di negeri ini.

“Ini disebabkan data yang diperoleh berdasarkan kepada data Jabatan Imigresen yang dikumpul melalui pintu masuk utama ke negeri ini.

“Bagaimanapun, jumlah ketibaan pelawat ke destinasi pelancongan utama di sesebuah daerah boleh dijadikan indikasi kepada kemasukan pelawat ke daerah itu,” katanya menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan jumlah pelancong yang melawat ke Semporna bagi tahun ini dan tahun lalu serta kesan kepada ketibaan pelancong ke Sabah, terutama ke Semporna akibat insiden kematian dua penyelam dari China di Pulau Kulapuan, Semporna, pada Julai lalu.

Christina berkata, kesan daripada insiden kematian dua penyelam dari China dan seorang pengajar selam skuba tempatan akibat bom ikan memberi impak minimum terhadap ketibaan pelancong ke Sabah dan Semporna.

Katanya bagi memastikan ketibaan pelancong ke Sabah terutama ke Semporna dan Tawau berterusan, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah merangka serta melaksanakan pelbagai strategi untuk menarik pelancong China.

“Antara langkah yang diambil ialah mengadakan aktiviti lawatan suai kenal untuk agensi pelancongan dari Hong Kong dan Macau. Selain itu, kita memperkenal produk pelancongan Sabah kepada pelancong China melalui rangkaian media sosial seperti WeChat dalam bahasa Cina,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abidin mengenai status penyiasatan oleh kementeriannya berhubung insiden itu, Christina berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk membantu keluarga mangsa dari China dan pihaknya menunggu laporan polis, sebelum mengambil tindakan terhadap pelaku.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *