Kos Penyelenggaraan Jalanraya Tinggi Akibat Kenderaan Lebih Muatan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu penekanan dalam penguatkuasaan terhadap kenderaan lebih muatan yang menggunakan jalan raya bagi mengurangkan kos selenggaraan jalan sedia ada.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan berjumpa dan berbincang dengan agensi-agensi yang terlibat sebagai usaha untuk mengelakkan perbelanjaan berulang setiap tahun.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sedang meneliti dokumen yang akan dibentangkan pada Persidangan Dun Sabah hari ini. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Banyak lori muatan lebih 35 tan menggunakan jalan-jalan sedia ada. Hal ini sepatutnya terdapat penguatkuasaan yang dilakukan.

“Ini kerana, jalan sedia ada memerlukan penyelenggaraan. Terdapat jalan yang perlu kita buat tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana peruntukan yang tidak mencukupi.

“Inilah yang perlu kita uruskan selain kita pastikan supaya peruntukan yang ada digunakan untuk membuat jalan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas) berkenaan usaha kerajaan untuk memastikan pembinaan jalan baharu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa, pada RMK12 kelak, kos dalam penyelenggaraan jalan raya akan dikurangkan sebagai usaha untuk menyediakan infrastruktur yang lebih berkualiti.

Katanya beliau juga telah memaklumkan Menteri Kerja Raya untuk memastikan setiap penyelenggaraan dan pembinaan jalan baharu perlu lebih berkualiti agar ia tidak mudah rosak.

“Inilah yang dikatakan pembangunan yang seimbang. Kerajaan perlu melihat jalan kampung mana yang perlu dibina supaya membolehkan kita mengeluarkan hasil-hasil ekonomi masyarakat atau disebabkan bilangan penduduk yang ramai.

“Dengan kewangan yang terbatas di negeri ini, kita perlu penjimatan dalam pembangunan melalui pembangunan seimbang,” katanya.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Masidi Manjun (Bersatu-Karanaan) berkata disiplin dalam menjayakan setiap pembangunan RMK12 turut menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Kita perlu menyediakan landasan untuk memantau dan memastikan pelaksanaan RMK12 dalam negeri dapat dijayakan.

“Terdapat beberapa pendekatan yang kita lalui. Namun, yang penting bagi kita adalah memastikan supaya kerajaan mahupun jawatankuasa sedia ada lebih berdisiplin dari segi pelaksanaannya,” jelasnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *