Sedco, CIS Rancang Bina Kilang ‘Klinker’ Bagi Penuhi Permintaan Simen Di Sabah

KOTA KINABALU, 5 Ogos: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) dan Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) merancang membina sebuah kilang ‘klinker’ iaitu bahan utama pembuatan simen di Sabah, sebagai usaha mengurangkan kos bahan itu dan memastikan bekalan yang mencukupi.

Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah  Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau berkata ketika ini CIS perlu mengimport klinker dari Semenanjung Malaysia dan juga luar negara.

Katanya yang juga timbalan ketua menteri Sabah menjelaskan CIS tidak mengeluarkan klinker, dan hanya memproses klinker menjadi simen.

“Oleh yang demikian struktur kos pengeluaran CIS adalah berbeza berbanding dengan pengeluar di Semenanjung Malaysia atas faktor-faktor bahan mentah, pengangkutan kapal dan logistik. Justeru harga jualan simen di Sabah tidak selaras dengan harga jualan di Semenanjung Malaysia,” katanya menjawab soalan Robert Tawik (STAR-Bingkor) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Robert ingin tahu adakah kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula harga simen yang dijual di pasaran dan menyelaras harga-harga jualan simen di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Wilfred Madius berkata walaupun harga jualan simen di Sabah lebih tinggi berbanding harga di Semenanjung Malaysia pada masa ini, ia adalah pada harga yang munasabah.

Katanya bagi tempoh lebih 10 tahun kebelakangan ini, harga jualan simen di Sabah tidak naik, walaupun terdapat kenaikan ketara dalam kos bahan mentah disebabkan kejatuhan mata wang ringgit.

Beliau berkata CIS telah menurunkan harga simen sebanyak enam peratus bagi pasaran Pantai Timur Sabah, apabila terminal simen pukal mula beroperasi di Pelabuhan Lahad Datu pada awal 2009.

“Penurunan harga itu dapat dibuat melalui penjimatan kos pengendalian dan pengangkutan simen dari kilang simen Teluk Sepanggar di Kota Kinabalu melalui kapal setelah terminal simen tersebut beroperasi dan hasil penjimatan  kos telah dinikmati oleh para pengguna melalui penurunan harga,” kata Wilfred Madius .

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *