5,453 Rumah Mampu Milik Dibangunkan Di Kawang

Jaujan Sambakong bersama dengan Christina Liew di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Isnin.

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan membina 2,679 unit rumah teres satu tingkat dan rumah mampu milik di Kinarut.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, 2,679 unit itu adalah sebahagian daripada 5,453 rumah mampu milik yang dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang.

Bagaimanapun, kerajaan sedang mengenalpasti tapak sesuai untuk pembinaan rumah dibawah Program Perumahan Rakyat (PPR) itu di DUN Kawang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, Kawang antara DUN yang paling banyak pembinaan rumah mampu milik.

“Pelbagai kategori rumah mampu milik dibina di kawasan ini disebabkan banyak limpahan pembangunan ekonomi diperolehi dari Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya dalam sidang media semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan DUN ke-15, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar (BERSATU-Kawang).

Menurutnya, kesemua rumah kos rendah yang dibangunkan melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berharga antara RM25,000 sehingga RM47,000 seunit.

Jaujan berkata, kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah membina sejumlah 1, 805 unit rumah PPR di kawasan DUN Kawang.

Dalam pada itu, kerajaan juga berusaha memenuhi keperluan perumahan untuk golongan penjawat awam dan M40 di DUN Kawang.

Buat masa ini, kementerian itu menerusi LPPB telah dan sedang membina sebanyak 1, 296 unit rumah untuk penjawat awam secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

“KKTP juga sedang membina sebanyak 502 unit rumah jenis apartment di bawah Program Perumahan Rakyat Harapan Malaysia (dulu dikenali PRIMA) dan sebanyak 522 unit rumah dua tingkat khas untuk golongan berkenaan.

“Sebanyak 55 unit rumah teres dua tingkat telah dan sedang dibina oleh pihak LPPB di kawasan DUN Kawang. Jumlah keseluruhan perumahan untuk golongan penjawat awam dan M40 di Kawang adalah sebanyak 2, 375 unit rumah,” katanya.

Antara perumahan yang dibina di kawasan DUN Kawang adalah PRIMA Kinarut South dan PRIMA Condominium Puncak Gloxina.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *