RM337 Juta Peruntukan Diluluskan Bagi Lancar Pentadbiran & Pembangunan Sabah

KOTA KINABALU: Pembangunan infrastruktur rakyat dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tahun 2019 merupakan tumpuan utama Ketua Menteri, Datuk Mohd. Shafie Apdal.

Berikutan itu, Mohd. Shafie di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2019 bernilai RM337,423,659.

RUU yang diluluskan itu memperuntukkan sebanyak kira-kira RM93 juta bagi perbelanjaan pembangunan yang diagihkan melalui beberapa kementerian bertujuan membangunkan infra rakyat.

“Sebanyak RM24,152,856 disyorkan untuk menampung perbelanjaan penyelenggaraan sistem perparitan utama dan kerja-kerja pengairan dan saliran seluruh Sabah.

“Sebanyak RM1.876 juta adalah diperlukan untuk pembayaran ke atas projek-projek yang telah dilaksanakan pada tahun lepas tetapi tidak dibayar dalam tahun kewangan 2018,” katanya semasa pembentangan RUU itu.

Sebanyak 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membahas RUU itu sebelum diluluskan.

Mohd. Shafie berkata, sebanyak RM16,420,830 diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan yang meliputi perbelanjaan rawatan perubatan kepada anggota perkhidmatan awam, pembaikan kemudahan serta pelbagai lagi.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, secara keseluruhan, 72.2 peratus daripada peruntukan tambahan itu sebenarnya diperlukan bagi tujuan pelarasan akaun semata-mata untuk mematuhi peraturan perakaunan.

“Sebanyak RM131,720,537 adalah untuk tujuan menyelesaikan akaun pendahuluan diri manakala baki sebanyak RM112,000,000 adalah untuk carumah kepada Kumpulan Wang Berkanun Negeri,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *