
SANDAKAN: Seorang maut dalam kebakaran 29 rumah di Kampung Batung, dekat Pinangah, Tongod, semalam.
Dalam kejadian yang turut memusnahkan sebuah tadika dan dua kereta pada kira-kira jam 5.30 petang itu, Eng Suan [email protected] Philip, 63, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tongod akibat melecur hampir 90 peratus.

Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hasbi Hajat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 petang, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dan Sandakan ke lokasi kejadian.

Katanya, bagaimanapun pasukan bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke lokasi kejadian.
“Api berjaya dikawal pada jam 9.50 malam dan maklumat lanjut masih belum diterima berikutan lokasi kejadian tidak mempunyai jaringan komunikasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hasbi berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.10 pagi tadi dan pemeriksaan lanjut mendapati sebuah kuarters klinik kesihatan turut terbakar kira-kira 15 peratus.
Katanya, pihak Forensik JBPM masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan anggaran kerugian.



