Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Diarah Cuci Jalan Berlumpur

Kontraktor projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah diarah membersihkan lumpur dan tanah yang mengotori jalan raya di laluan antara Kimanis-Beaufort. – Ihsan JKR

KOTA KINABALU: Kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diarah mencuci jalan dikotori tanah dan lumpur akibat dilalui lori pengangkut tanah yang menjalankan kerja penimbusan bagi melebarkan laluan sedia ada untuk projek itu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Richard Jomiji Kinsil, berkata kontraktor turut diarah mencuci terlebih dahulu tayar kenderaan yang bertanah dan berlumpur sebelum memasuki jalan raya.

Kontraktor projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah diarah membersihkan lumpur dan tanah yang mengotori jalan raya di laluan antara Kimanis-Beaufort. – Ihsan JKR

Beliau berkata, surat amaran turut dikeluarkan terhadap semua kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, khususnya di laluan yang memerlukan kerja penimbusan bermula dari Kimanis ke Bongawan, Membakut dan Beaufort.

“Jalan raya di kawasan terbabit kotor disebabkan lori kontraktor yang menggunakan jalan itu dengan tayar yang bertanah dan berlumpur.

“Kita sudah arahkan mereka untuk mencuci terlebih dahulu di `wash bay’ sebelum memasuki jalan raya awam. Mereka tidak dibenarkan masuk ke jalan awam dengan tayar yang penuh dengan lumpur, surat amaran juga akan dikeluarkan.

“Kami (JKR) juga sudah arah mereka untuk cuci jalan terbabit,” katanya ketika diminta mengulas rungutan pengguna jalan raya di laluan antara Kimanis ke Beaufort yang dikotori tanah selain licin ketika hujan.

Keadaan itu turut didakwa menjadi punca beberapa kemalangan yang membabitkan kenderaan terbabas selepas gagal dikawal pemandu akibat jalan raya berlumpur dan licin, khususnya ketika hujan.

Ketika ini, pelaksanaan fasa pertama sepanjang 706 kilometer projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bernilai RM12.8 bilion masih dikendalikan di bawah penyeliaan syarikat penyampai projek (PDP), Borneo Highway PDP Sdn Bhd.

Sejak dilancarkan pada April 2016, sebanyak 12 daripada 35 pakej pembinaan keseluruhan sudah diserahkan kepada kontraktor, kebanyakannya membabitkan laluan menghubungkan Sindumin ke Beaufort, Papar dan Penampang, selain Putatan ke Inanam, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

Sebahagian besar pelaksanaan projek itu di pantai barat, khususnya di antara Papar dan Beaufort serta Sipitang memerlukan kerja penimbusan berikutan kedudukan laluan di kawasan tanah berpaya.

JKR dijadual mengambil alih pelaksanaan lebuh raya itu pada September ini berikutan keputusan kerajaan untuk menamatkan kontrak syarikat PDP.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *