PGA Rampas Rokok Seludup Bernilai RM150,000

Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan dua lelaki membawa rokok seludup ke Kota Kinabalu, selepas mereka ditahan dalam sekatan jalan di Pusat Pemeriksaan Jalan (PPJ) Sapi Nangoh, semalam. Foto Ihsan PGA BATALION 20

BELURAN: Cubaan dua lelaki membawa 15,380 bungkus rokok seludup ke Kota Kinabalu, gagal, selepas mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Pusat Pemeriksaan Jalan (PPJ) Sapi Nangoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki tempatan yang berusia 26 tahun bersama rakannya seorang warga asing, 30, dicekup ketika menaiki van yang sarat dengan pelbagai jenama rokok.

Pegawai Pemerintah Batalion 20, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata hasil pemeriksaan mendapati van berkenaan membawa rokok dianggarkan bernilai RM150,000 yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai dalam perjalanan dari Lahad Datu dan semua rokok berkenaan cuba dihantar ke Kota Kinabalu untuk dijual di pasaran tempatan.

“Kita turut merampas sebuah van Toyota Hi Ace yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan berkenaan.

“Semua rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM150,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, kedua-dua suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan van dan rokok sebelum cukai pula dianggarkan lebih RM215,000.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *