Pengambilan 750 guru interim baharu di Sabah tahun ini

KOTA KINABALU, 25 Julai (Bernama) — Jabatan Pendidikan Negeri Sabah membuka ambilan 750 guru interim baharu pada tahun ini sebagai inisiatif menangani masalah kekurangan guru di negeri ini.

Pengarahnya Dr Mistirine Radin berkata daripada jumlah itu, 130 guru interim Pendidikan Islam dan 166 guru interim pelbagai opsyen lain telah dilantik.

“Kami masih mencari lebih kurang 454 guru interim untuk dilantik pada tahun ini. Justeru kami amat mengalu-alukan graduan untuk membuat permohonan khususnya pemegang ijazah pertama yang belum mempunyai pekerjaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pelantikan dan Penempatan Guru Interim Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Siri Satu 2019, di sini hari ini.

Seramai 166 guru interim baharu yang berjaya melepasi Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) serta lulus temu duga telah menerima surat tawaran pelantikan pada majlis itu dan mula bertugas pada 1 Ogos ini.

Menurutnya dasar 90 peratus guru tempatan dan 10 peratus guru luar yang mengajar di Sabah ketika ini juga semakin tercapai.

Katanya sehingga kini peratusan guru tempatan di Sabah adalah 94 peratus bagi sekolah rendah dan 98 peratus bagi sekolah menengah.

“Namun kami menjangka lebih ramai guru dari Semenanjung akan kembali ke tempat asal dan kami akan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sabah mengisi kekosongan tersebut,” kata Mistirine.

— BERNAMA