TUDM Lakukan Penerbangan Ihsan Membawa Pesakit Alami Bengkak Salur Darah Dalam Otak Dari Tawau Ke Kota Kinabalu

Pesakit yang menghidap penyakit bengkak salur darah dalam otak, Roslan Marjan diterbangkan dari Tawau menggunakan pesawat TUDM jenis Sikorsky S61A-4 bagi mendapatkan pembedahan segera di Hospital Queen Elizabeth II Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa pesakit yang mengalami bengkak salur darah dalam otak dari Lapangan Terbang Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

TUDM dalam satu kenyataan media memaklumkan, penerbangan itu dibuat bagi membolehkan Roslan Marjan yang menghidap penyakit Saccular Anterior Communicating Artery Aneurysm untuk menjalani pembedahan segera di Hospital Queen Elizabeth II.

Pesakit Roslan Marjan yang diterbangkan dari Tawau diusung masuk kedalam ambulans sejurus tiba di LTAKK bagi mendapatkan pembedahan segera di Hospital Queen Elizabeth II.

Pesawat milik TUDM jenis helikopter Sikorsky S61A-4 (Nuri) itu berlepas dari Lapangan Terbang Tawau pada jam 9.25 pagi dan mendarat di LTAKK pada jam 10.45 pagi tadi.

Turut mengiringi Roslan dalam penerbangan itu isteri dan ayah serta pegawai perubatan dan jururawat dari Hospital Besar Tawau.

“Adalah menjadi tanggungjawab TUDM didalam memberi komitmen serta kesungguhan yang tinggi untuk memenuhi kebajikan masyarakat.

“Seluruh warga TUDM mendoakan agar pesakit diberikan kesembuhan seperti sedia kala. Tahniah diucapkan kepada juruterbang dan anak kapal dalam melaksanakan tugas dengan jayanya,” menurut kenyataan itu.

SabahNewsToday difahamkan penerbangan diketuai oleh Mejar Wan Muhamad Rusli Wan Sulaiman selaku juruterbang dan dibantu Kapten Ahmad Hazman Jaafar bersama dua krew dari Detasmen No 7 Skuadron di Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU) Tawau. -SabahNewsToday