Banjir: SK Lingkungan, Beaufort Masih Ditutup Hari Ini

Keadaan Banjir Di SK Lingkungan , Beaufort – Foto SK Lingkungan

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Lingkungan, Beaufort masih ditutup hari ini, berikutan banjir yang belum surut sepenuhnya, sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Dr Mistirine Radin, berkata seramai 41 murid yang hadir pagi ini diarahkan balik atas faktor keselamatan.

Keadaan Banjir Di SK Lingkungan , Beaufort – Foto SK Lingkungan

“SK Lingkungan pagi ini tiada sesi persekolahan. Murid yang hadir diarahkan balik, manakala semua 14 guru dan tiga Anggota Khidmat Pelaksana (AKP) berada di sekolah untuk kerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan, di sini, pagi ini.

Foto SK Lingkungan

Semalam, sekolah yang mempunyai 111 murid itu ditutup akibat banjir kilat sejak lewat petang kelmarin.

Hanya sekolah itu yang ditutup akibat banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Beaufort dan Sipitang.