
MANGGATAL: Seorang lelaki warga emas melecur di bahagian belakangnya selepas terlibat dalam satu kebakaran di kediamannya yang beralamat di Kampung Rampaian, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Sapar, 70, yang melecur kira-kira 12 peratus daripada badannya itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Satu sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

Dalam kejadian yang sama, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan salah seorang anggotanya yang bertugas memadamkan kebakaran tersebut mengalami renjatan elektrik semasa menjalankan operasi.
Anggota bomba tersebut dalam keadaan sedarkan diri dan dihantar ke HQE Dua oleh pihak ambulan.
Laporan berkenaan mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Sementara itu, ketika kejadian, kebakaran tersebut membabitkan tiga buah struktur rumah kediaman dengan keluasan 40×50 kaki persegi (dua buah rumah) dan 20×30 kaki persegi musnah terbakar.
PGO menerima panggilan kecemasan tersebut kira-kira pukul 1.37 petang dan menggegaskan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas serta Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 2.05 petang. Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 3.40 petang dan operasi ditamatkan pada pukul 3.51 petang.