(VIDEO) Haramkan Segera Gula-Gula Berasap Seperti Rokok

Sedutan video yang tular

PAPAR: Ibu bapa diminta supaya lebih peka dan memantau anak-anak mereka supaya tidak membeli gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Mohd Fauzi Sahat, berkata beliau mendapati gula-gula itu dijual secara berleluasa di daerah ini.

“Kebanyakan yang membeli gula-gula itu adalah murid Tahun Lima dan Enam. Keadaan ini perlu dipantau kerana kita bimbang ia menjadi ikutan dan memberi kesan negatif kepada murid kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain daerah ini gula-gula berkenaan juga ada dikatakan turut dijual secara berleluasa di daerah lain termasuk di sekitar ibu negeri, kebanyakannya dibawa dari luar sekolah oleh murid.

Menyedari keburukannya gejala itu, Mohd Fauzi berkata, beliau menulis surat kepada PIBG sekolahnya pada 10 Julai lalu dan mengingatkan ibu-bapa mengenai budaya buruk yang bakal timbul daripada gula-gula berkenaan sebelum surat beliau tersebar di Facebook.

Gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dijual kepada murid sekolah di Papar.

Katanya, pada mulanya beliau hanya mahu berkongsi kesan negatif memakan gula-gula itu dalam kalangan ibu bapa di sekolahnya kerana bimbang mengenai ciri-cirinya yang sama seperti merokok.

“Gula-gula ini menjadi popular dalam kalangan kanak-kanak di sekitar pekan Papar baru-baru ini malah turut menerima aduan daripada guru SK Pekan Papar mengenai gejala memakan gula-gula itu di sekolah berkenaan.

“Aduan juga dibuat kepada Pegawai Kesihatan Daerah Papar dan tindakan pemeriksaan terhadap premis dan kajian terhadap kandungan gula-gula itu sudah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Papar,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan surat daripada Pejabat Kesihatan Papar, kajian terhadap gula-gula terbabit mendapati ia melanggar peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Makanan 1983 iaitu tidak menyatakan kandungan aditif makanan.

Katanya, tindakan merampas gula-gula terbabit dari premis yang menjualnya juga sudah dilakukan Pejabat Kesihatan.

Berita Harian