Polis Tahan Lelaki Tempatan Disyaki Curi Besi Penutup Longkang Di Inanam

Suspek berjaya diberkas bersama besi penutup longkap yang dicuri selepas kenderaan yang mereka naiki di tahan polis di belakang sebuah pasaraya di Pekan Inanam, di Kota Kinabalu. Gambar Ihsan Polis

KOTA KINABALU, 21 Julai: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri besi penutup longkang termasuk penebat pencawang elektrik di sekitar Inanam, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata suspek ditahan di belakang sebuah pasar raya dekat pekan Inanam selepas anggota polis menjalankan rondaan di kawasan itu mendapati kereta dipandu suspek berada dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Ketika polis menghampiri kereta itu mendapati terdapat beberapa besi penutup longkang berada di bahagian penumpang belakang kereta.

“Setelah pemeriksaan lanjut dibuat, polis mendapati 30 unit besi penutup longkang, sembilan unit penebat pencawang elektrik dan masing-masing satu unit pemotong besi serta gergaji besi disimpan dalam kereta yang digunakan suspek pada masa itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketika pemeriksaan, polis cuba menahan seorang lagi lelaki yang juga rakan suspek namun berlaku sedikit pergelutan sehingga lelaki berusia lingkungan 20an itu dapat melarikan diri.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek turut mengaku baharu sahaja mencuri besi penutup longkang di kawasan sekitar Inanam.

Polis masih memburu rakan suspek yang masih bebas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *