Jelius Mahu Pemain Tambadau Sabah Fokus Piala Malaysia

Jurulatih Sabah, Jelius Tabias Ating. – Foto Imran Makhzan

Selepas muncul juara Liga Perdana musim ini, pengendali Sabah Jelius Ating mahu pemainnya memberi fokus 100 peratus terhadap saingan Piala Malaysia musim ini yang bermula depan.

Anak jati Sabah yang terkenal dengan gelaran ‘The Iron Man’ kerana kekentalannya mengemudi benteng pertahanan pada era 90-an berkata, kejayaan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir saingan piala berprestij itu musim lalu membakar semangatnya untuk membantu pasukannya berada pada kedudukan yang lebih baik musim ini.

“Tahun lepas, kita berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum tewas dengan agregat 7-1 kepada Perak, jadi tahun ini kita mahu membuat kemunculan yang lebih baik berbanding musim lalu,” kata Jelius selepas kekalahan 2-1 pada aksi terakhir liga bertemu Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

“Kami harap dengan kejayaan menjuarai Liga Perdana musim ini pemain tidak berada dalam kedudukan selesa tetapi perlu menjadikan kejayaan itu sebagai motivasi untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Pemain juga perlu mempamerkan karakter terbaik dalam saingan kali ini untuk bersaing dengan pasukan yang lebih hebat terutama pasukan daripada Liga Super dan Liga Perdana.” 

Mengulas pertemuan itu, Jelius mengakui pemainnya gagal mempamerkan corak permainan sebenar sehingga mudah dihukum pasukan tuan rumah.

“Sebenarnya perlawanan malam ini (malam tadi) pemain tidak menunjukkan karakter sebenar mereka walaupun kita menurunkan barisan pemain kedua, namun kita mahu menang biarpun tidak begitu terdesak selepas menjuarai liga.

“Secara keseluruhannya saya tidak berpuas hati dengan persembahan pemain yang diturunkan, mereka sepatutnya menggunakan peluang itu untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Bagaimanapun menjelang Piala Malaysia nanti kita perlu mempersiapkan pasukan dan memperbaiki kelemahan ketara terutama cepat hilang bola sekali gus gagal menguasai permainan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *