Tunjuk Kemaluan Di Hadapan Tiga Perempuan, Polis Tahan Lelaki Di Lahad Datu

Polis berjaya menjejak lokasi suspek sebelum menahannya selepas dipercayai terbabit dengan kes gangguan seksual. Motosikal suspek turut dirampas di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu. – Ihsan PDRM

Padah tunjuk ‘anu’, lelaki dicekup polis

Perbuatan melampau seorang lelaki menunjukkan kemaluannya di hadapan tiga remaja perempuan dalam tiga insiden berasingan di bandar ini mengundang padah selepas ditahan polis di Bandar Sri Perdana, di sini semalam.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.20 petang selepas menerima tiga laporan polis berhubung perbuatan jeliknya itu di sekitar Kampung Muhibbah, di sini, masing-masing pada Selasa dan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sama daripada tiga remaja perempuan berusia antara 15 dan 16 tahun.

“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan perbuatannya itu antara jam 1.05 hingga jam 1.10 tengah hari Selasa lalu dalam dua kejadian berasingan di sekitar Kampung Muhibbah terhadap dua mangsa.

“Suspek dikatakan menaiki sebuah motosikal dipercayai menghampiri mangsanya untuk bertanyakan sesuatu sebelum bertindak memegang dan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Nasri berkata, dalam laporan lain, suspek melakukan perbuatan itu pada jam 1.43 petang, Khamis lalu, ketika mangsa dalam perjalanan dari sekolah.

“Suspek datang ke arah mangsa dan menghentikan motosikalnya sebelum bertindak mengeluarkan kemaluan dan melakukan onani di hadapan mangsa. Mangsa yang ketakutan segera melarikan diri ke sebuah kedai runcit berhampiran untuk mengelak daripada suspek,” katanya.

Nasri berkata, ekoran kejadian itu, semua mangsa menceritakan kejadian terbabit kepada rakan dan ibu mereka sebelum laporan polis dibuat.

Bertindak atas maklumat, Nasri berkata, pihaknya berjaya menjejak lokasi suspek sebelum menahannya selepas dipercayai terbabit dengan kes gangguan seksual itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki itu didapati tidak mempunyai dokumen diri. Kes masih dalam siasat polis mengikut Seksyen 15(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Berita Harian