Shafie Apdal Disambut Baik Di Gereja St Theresa Tambunan

Ketua Menteri bersalaman dengan golongan belia Kristian yang menyambut kehadiran beliau di gereja Katolik St. Theresa, Tambunan.

Masyarakat Kristian Tambunan menghargai kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ke gereja Katolik St. Theresa hari ini untuk melihat sendiri keadaan gereja tersebut yang memerlukan dana untuk dibaik pulih.

Pemimpin gereja, Paderi Rudolp Joannes berkata, kehadiran pemimpin nombor satu Sabah itu membuktikan bahawa beliau tidak pernah membezakan agama dalam mentadbir negeri ini.

RUDOLP JOANNES

“Walaupun beliau sendiri berbeza agama tetapi itu bukan halangan, inilah yang dikatakan kita hidup satu Malaysia, kehadiran Ketua Menteri membawa dua pengertian, yang pertama ialah beliau sangat prihatin kepada keperluan kita.

“Beliau tahu untuk membina negara bukan sahaja kepada intelektual tetapi perlukan pembinaan moral dan rohani juga dan yang kedua, beliau menunjukkan solidaritinya kepada kita semua di Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” kata Rudolp dalam ucapan ringkasnya semasa menyambut kehadiran Mohd. Shafie di gereja itu pagi ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar.

Mohd Shafie menyampaikan ucapan ringkas ketika hadir di gereja Katolik St Theresa Tambunan.

Gereja St. Theresa yang dibina sejak 1960 kini mampu menampung kira-kira 1,000 umat Kristian untuk aktiviti keagamaan dalam satu-satu masa.

Gereja tersebut kini mempunyai beberapa kerosakan terutama di bahagian bumbung dan atap yang memerlukan dana sebanyak RM8 juta untuk pembaikan.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, beliau memberi jaminan kerajaan akan menghulurkan bantuan dalam apa juga cara supaya gereja berkenaan dapat dibaik pulih sepenuhnya.

Mohd Shafie menerima penerangan tentang sejarah dan pembinaan gereja Katolik St. Theresa, Tambunan.

Katanya, sebagai Ketua Menteri, beliau mempunyai dasar bahawa orang Islam atau Kristian perlu diberi layanan sama rata dalam soal bantuan kerana mereka adalah rakyat Sabah.

“Saya tahu pengundi saya bukan orang Islam sahaja tetapi orang Kritian juga jadi saya adalah Ketua Menteri untuk semua agama.

“Gereja ini perlu kerana untuk mendidik masyarakat tentang kebaikan, semua agama sama sahaja seperti dalam Islam, dalam al-Quran yang mendidik umatnya menghormati agama-agama lain,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *