Polis Sabah Lupus 7.3 Kilogram Dadah Pelbagai Jenis Bernilai RM350,000

Zaini menunjukkan dadah yang mahu dilupuskan dalam Program Pelupusan Barang Kes Dadah Siri 1/2019 di Keningau. – Ihsan polis

KENINGAU: Polis Sabah melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 7,360.87 gram bernilai RM354,611 membabitkan 2,590 kertas siasatan yang telah selesai dibicarakan bagi tempoh antara 1982 dan 2018.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata ia merupakan pelupusan pertama dijalankan pada tahun ini dan merupakan siri keenam di Sabah itu melibatkan 20 daerah.

Zaini menunjukkan dadah yang mahu dilupuskan dalam Program Pelupusan Barang Kes Dadah Siri 1/2019 di Keningau. – Ihsan polis

Beliau berkata antara barang kes dilupuskan termasuk methamphetamine (syabu) seberat 7,030.15 gram; heroin (0.51 gram); ganja (166.04 gram) dan ketamine (4.57 gram) selain ecstacy, pil psikotopik serta eramin 5.

“Pelupusan barang kes ini bertujuan mengelak barang kes menjadi rosak, koyak, lusuh dan dicemari oleh makhluk perosak seperti tikus dan anai-anai. Ia juga bagi mengelak tempat penyimpanan stor utama jadi tidak tersusun dan menyukarkan pergerakan keluar masuk barang kes bagi tujuan perbicaraan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah Superintendan Ahmad Jawila, Ketua Polis Keningau DSP Shahrudin Mat Husain dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Keningau Suriati Sukarti.

Zaini berkata pelupusan itu juga adalah satu daripada cara melakukan audit ke atas barang kes dadah dirampas dan selesai dibicarakan selain mengelak daripada menjejaskan kesihatan anggota bertugas.

BERNAMA