Bapa Hapus Keluarga ‘Menyusahkan’

Beverly bersama tiga cucunya. – Daily Mail Agensi

Seorang lelaki dipenjara seumur hidup kerana membunuh isteri, tiga anak yang masih kecil dan ibu mentuanya disebabkan menganggap keluarganya menyusahkannya, sebelum menyerah diri selepas tinggal serumah dengan mayat semua mangsa selama lima hari.

Anthony Robert Harvey, 25, mengaku salah menggunakan pisau dan objek tumpul untuk membunuh keluarganya itu di Bedford, Perth, tahun lalu, lapor Mail Online.

Mangsa adalah isterinya, Mara Lee Harvey, 41, tiga anak perempuan termasuk pasangan kembar Alice dan Beatrix, dua, serta kakak mereka Charlotte.

Ibu Mara, Beverley Ann Quinn, 73, yang datang setiap hari untuk membantu menjaga cucunya, turut dibunuh apabila datang ke rumah itu keesokannya.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Stephen Hall berkata, semua mangsa tidak mampu menjangka perancangan Harvey mahu membunuh mereka, malah tiga anaknya itu dibunuh ketika tidur.

“Sepatutnya itu tempat paling selamat untuk mereka. Sepatutnya mereka tahu bapa mereka akan melindungi mereka. Itu tugas paling asas ibu bapa.

“Orang paling keras hati sekalipun pasti ngeri dan meluat dengan perbuatan kamu itu kerana melampaui batas,” katanya.

Mahkamah diberitahu, Mara dan Beverley dipukul di kepala menggunakan paip sebelum ditikam berulang kali menggunakan pisau yang baru dibeli tertuduh.

Harvey turut mengaku cuba ‘menghapuskan’ isteri yang baru dikahwini tiga tahun lalu itu dengan menikamnya sekurang-kurangnya 12 kali. Semua mangsa kanak-kanak dibunuh menggunakan pisau lebih kecil dengan Charlotte ditikam 38 kali.

MARA dan Harvey berkahwin tiga tahun lalu.

Dia kemudian keluar bekerja seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, malah terus tinggal di rumah itu dengan mayat dibiarkan begitu saja di tempat mereka dibunuh.

Harvey akhirnya memandu 1,400 kilometer ke Pannawonica di mana dia mempunyai ahli keluarga dan menyerah diri kepada polis pada 9 September lalu.

Rakan Mara mendakwa Harvey pemalas dan kaki botol, malah turut mengambil dadah dan cuma mahu berseronok seterusnya menganggap isteri serta anaknya menyusahkannya.

Agensi