KOTA KINABALU, 19 Julai – Seramai 24 individu termasuk seorang lelaki positif dadah menerusi saringan ujian air kencing ditahan dalam operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) dijalankan di lima lokasi sekitar bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata dalam operasi bermula 1 tengah hari hingga 8 malam itu, individu ditahan berumur antara 14 hingga 63 tahun, dan mereka masing-masing akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Seramai 124 orang diperiksa dalam operasi ini, namun, 100 orang dilepaskan setelah keluarga dan majikan masing-masing memberi kerjasama menghantar kad pengenalan serta pasport asal ketika pemeriksaan dokumen pengenalan diri dibuat di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi.
“Tumpuan lokasi operasi dijalankan adalah di sekitar Kota Kinabalu termasuk Manggatal bagi membendung kadar pertumbuhan PATI yang mengundang kepada kegiatan jenayah di bandar raya ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Habibi berkata operasi dijalankan selama tujuh jam itu turut dibantu oleh beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, dan operasi tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.
Orang ramai turut dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat di balai polis berhampiran atau menerusi media sosial seperti Facebook Polis Kota Kinabalu dalam usaha membanteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial negatif di sekitar Kota Kinabalu, katanya.
BERNAMA