‘Tidak Curi Data Pengguna’ – FaceApp

Viral di laman sosial berhubung penggunaan aplikasi transformasi wajah iaitu FaceApp yang didakwa mencuri data wajah pengguna sebelum di muat naik menerusi pelayan utama aplikasi itu di Russia.

Penggunaan aplikasi berkenaan bukan saja menjadi ‘kegilaan’ masyarakat umum, malah ramai selebriti dunia, termasuk Malaysia menggunakan aplikasi itu sebelum memuat naik di akaun laman sosial mereka.

Berdasarkan beberapa laporan menegaskan bahawa aplikasi itu tidak memuat naik atau mencuri gambar pengguna untuk tujuan tertentu sebaliknya semua proses itu hanya dilaksanakan dalam bentuk awanan (cloud) saja.

Perkara itu juga dijelaskan oleh Pembangun FaceApp, Yaroslav Goncahrov menerusi satu kenyataan bahawa data pengguna tidak dipindahkan ke Russia atau mana-mana pelayan, sebaliknya semua proses gambar dibuat secara awanan.

“Kita hanya memuat naik gambar tertentu untuk tujuan pengubahsuaian oleh pengguna. Kita tidak pernah sesekali memindahkan gambar daripada peranti ke awanan.

“Boleh dikatakan setiap imej yang sudah diproses di awanan akan dibuang daripada pelayan kami dalam tempoh 48 jam untuk tujuan prestasi dan trafik,” katanya.

Sebelum ini, beberapa laman web mendakwa bahawa aplikasi itu digunakan oleh pihak berkepentingan di Russia kononnya untuk mencuri data pengguna sebelum di simpan di dalam pelayan aplikasi itu yang bertempat di St Petersburg, Russia.

Namun, berdasarkan semakan beberapa firma keselamatan siber terkemuka menemui bahawa kebanyakan sistem pelayan aplikasi itu menggunakan kawalan data milik Amazon iaitu di Amerika Syarikat (AS).

Harian Metro