Terima 111,142 Permohonan Warganegara Dalam Tempoh 5 Tahun

Datuk Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 111,142 permohonan kewarganegaraan antara tempoh 2013 hingga 2018 lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata, permohonan yang ditolak daripada jumlah keseluruhan berkenaan ialah 26,222 manakala 54,222 masih dalam proses.

“Setiap permohonan kewarganegaraan diproses berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang diperincikan mengikut peruntukan menerusi Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Kewarganegaraan Malaysia 1964 dan perundangan berkaitan.

“Ia termasuk pendaftaran perkahwinan, kesahtarafan anak, peraturan imigresen, pengangkatan dan lain-lain.

“Pertimbangan terhadap fakta dan dokumen sokongan dikemukakan pemohon dilaksanakan dengan teliti secara kes demi kes mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Steven Shiau Yoon (PH-Tebrau) mengenai jumlah permohonan kewarganegaraan sepanjang 2013 hingga 2018, selain inisiatif bagi menyelesaikan sebarang isu penangguhan.

Sebagai inisiatif menambah baik proses, Mohd Azis berkata, kementerian sedang memuktamadkan langkah mengemaskini SOP berdasarkan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.

Selain itu, katanya, pelbagai aspek iaitu kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada akan diambil kira.

FAKTA

Kategori pemerolehan kewarganegaraan

Kuat kuasa undang-undang, Perkara 14(1)(b) – Tolak (1,140), Dalam proses (2,558)

Pendaftaran, Perkara 15(1) – Tolak (730), Dalam proses (5,265)

Pendaftaran, Perkara 15(2) – Tolak (3,715), Dalam proses (4,959)

Pendaftaran, Perkara 15A – Tolak (10,149), Dalam proses (27,835)

Pendaftaran, Perkara 16 – Tolak (429), Dalam proses (1,147)

Penaturalisasian, Perkara 19 – Tolak (10,059), Dalam proses (12,458)

Berita Harian