Pindaan Had Umur Layak Mengundi Suatu Kejayaan Besar

Jo-Anna Sue Henley Rampas

KOTA KINABALU, 17 Julai – Rakyat Malaysia menunjukkan kematangan demokrasi apabila Parlimen meluluskan undi bersejarah untuk menurunkan had umur layak mengundi di negara ini daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Ia adalah undi bersejarah di mana anggota parlimen berdiri teguh dalam satu suara untuk meminda Perlembagaan Persekutuan pada Selasa untuk membolehkan generasi muda kita melaksanakan peranan lebih penting dalam pembinaan negara,” kata Jo-Anna Sue Henley Rampas, setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sabah.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata proses untuk menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun dilihat sebagai kejayaan besar dalam sejarah masyarakat Malaysia.

“Ia akan meremajakan Malaysia. Perspektif baharu ini akan merangsang tsunami anak muda untuk melaksanakan peranan dinamik dalam pertubuhan politik.

“Semangat peremajaan dalam landskap politik di rantau ini akan wujud dengan menyuntik tenaga baharu dalam proses penggubalan dasar,” kata Jo-Anna, yang juga timbalan ketua Wirawati Parti Warisan Sabah

BERNAMA