Sebanyak 1,308 Unit Rumah PPR Di Sabah Bakal Diserah Kepada Pemohon

KOTA KINABALU, 17 Julai – Pemohon layak bagi tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang telah siap dibina di Sabah dijangka boleh memasuki kesemua unit rumah itu dalam tempoh sebulan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu berkata tiga projek PPR berkenaan ialah PPR Merotai di Tawau; PPR Kota Marudu; dan PPR Gayang I di Tuaran, dengan setiap PPR masing-masing menawarkan 470 unit rumah, 420 unit rumah dan 418 unit rumah.

Aliuddin (empat kanan) bertukar dokumen penyerahan bersama Masnah (empat kiri), sambil disaksikan oleh Jaujan.

“Permohonan bagi ketiga-tiga PPR ini sudah ada dan kini sedang dalam proses saringan. Pemilihan pemohon yang layak berdasarkan syarat serta kriteria ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memo penyerahan tiga projek PPR itu di sini, hari ini.

Memo penyerahan itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Dr Alauddin Sidal serta Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masnah Matsaleh.

Jaujan berkata terdapat tiga lagi projek PPR sedang dalam perancangan untuk dibina di Sabah, namun lokasinya masih belum dapat dimaklumkan.

Beliau berkata Sabah adalah antara negeri yang menerima banyak peruntukan bagi pembinaan rumah PPR sejak 2001 hingga tahun ini.

Menurut Jaujan d????alam tempoh itu, 30 projek PPR telah siap dibina manakala tujuh masih dalam kerja-kerja pembinaan dengan kesemuanya melibatkan 25,449 unit rumah.

Mengenai skim sewa untuk beli, Jaujan berkata kerajaan Sabah telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan pusat supaya mempertimbangkan konsep tersebut untuk diaplikasikan dalam setiap PPR yang ditawarkan kepada rakyat di negeri ini.

“Saya yakin kerajaan Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan prihatin yang akan melihat keperluan rakyat dalam memastikan konsep ini diterjemahkan di semua PPR di Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jaujan berkata kementeriannya belum menerima sebarang laporan mengenai kegiatan pemalsuan kad kesihatan pengendali makanan di Ranau, namun, pihaknya akan mengambil perhatian perkara itu untuk siasatan lanjut.

Pada Isnin, polis Sabah menumpaskan kegiatan pemalsuan kad kesihatan pengendali makanan di Ranau berikutan penangkapan seorang pembantu perubatan Jabatan Kesihatan berusia 37 tahun.

– BERNAMA