ESSCom Tahan Wanita Indonesia Sembunyi Rokok Seludup Di Rumah

Foto ESSCOM

TAWAU, 17 Julai –  Seorang wanita Indonesia ditahan kerana menyimpan 1,180 bungkus rokok seludup di sebuah rumah kongsi di ladang sawit, Kalabakan dekat sini, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk DCP Hazani Ghazali.

Beliau berkata wanita berusia 40 tahun itu ditahan selepas sepasukan anggota ESSCom yang diketuai oleh DSP Jaffry Othman menyerbu rumah wanita itu pada 3.30 petang Isnin.

Foto ESSCOM

“Hasil serbuan 1,180 bungkus rokok pelbagai jenama disyaki belum dibayar cukai kastam disembunyikan di dalam sebuah bilik di rumah kongsi berkenaan.

“Antara rokok ditemui LA Merah (340 bungkus), Premium (300 bungkus), LA Hijau (160 bungkus), Apache (150 bungkus), Gudang Garam (150 bungkus), Menara Dunia (50 bungkus), Minna (20 bungkus) dan Premium Hitam (10 bungkus),” katanya.

Hazani berkata kes itu akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan suspek kini di tahan di Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Hazani berkata operasi khas ESSCom seperti Ops Gasak dan Ops Bersepadu akan diteruskan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (pati), selain membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan termasuk rokok.

Foto ESSCOM

BERNAMA