KOTA KINABALU: Bendera Sang Saka Biru berjaya dikibar warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di puncak tertinggi Asia Tenggara, Gunung Kinabalu pada jam 5.15 pagi Sabtu (13 Julai 2019).
Kumpulan pendaki seramai 37 orang itu mula bergerak dari penginapan Panalaban kira-kira jam 3 pagi dikoordinasi oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.
Turut dikibarkan, bendera sekolah menengah antara yang tertua di Sabah, Maktab Sabah oleh pendaki termuda Haiqa Nafsiah Habibi, 13, pelajar Tingkatan 1 Tertib.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata aktiviti mendaki gunung bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal dan mental, tetapi juga berupaya menjalin kerjasama erat dalam meningkatkan imej serta kecemerlangan pasukan.
“Kepayahan menuju ke puncak adalah simbolik untuk membina momentum kecemerlangan PDRM menerusi semangat kerjasama berpasukan ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Ekspedisi Menawan Gunung Kinabalu 2019 PDRM Sabah, di sini pada Khamis lalu.
Selain pegawai dan anggota dari IPD Kota Kinabalu, kumpulan pendaki berkenaan juga terdiri daripada para pegawai dari IPD Tuaran, IPD Wilayah Persekutuan Labuan, Pasukan Gerakan Am Batalion 17 Lahad Datu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bukit Aman.