Operasi SAR Lelaki Dihanyutkan Arus Di Sipitang Diteruskan

Kenderaan mangsa ditemukan pada jarak 100m dari jambatan ia dihanyutkan.

Operasi mencari dan menyelamat (Sar) dilancarkan terhadap seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya hanyut di sungai Muaya Kampung Mendulung sejak kelmarin (14 Julai).

Laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyatakan ketika kejadian mangsa memandu kenderaan jenis Toyota Land Cruiser itu dibawa arus sungai yang deras semasa cuba menyeberangi jambatan aras rendah yang ditenggelami air.

Operasi SAR diteruskan bagi mencari mangsa yang hilang dipercayai dihanyutkan arus.

“Sar kenderaan dan mangsa dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga pukul 1.09 pagi sehingga ditangguh dan disambung pada pukul 6.28 pagi hari ini.

“Kenderaan mangsa, 64, berjaya ditemui hari ini kira-kira 100 meter dari jambatan tersebut dan mangsa didapati tidak berada di dalam kenderaan tersebut.

“Maklumat awal dari orang awam, mangsa berada dalam kenderaan beliau ketika dihanyutkan air sungai deras,” menurut laporan PGO, hari ini.

Tambahnya operasi Sar diteruskan dengan bantuan penduduk kampung.

Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang menerima kecemasan tersebut kira-kira pukul 9.40 malam kelmarin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *