Shafie Mahu Peter Anthony Terus Pimpin SAFA

KOTA KINABALU: Perubahan dalam pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas mengambil alih pentadbiran negeri adalah faktor penentu kepada kejayaan Skuad Tambadau menjuarai Liga Perdana.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebagai pemimpin muda, Datuk Peter Anthony yang dilantik memangku jawatan Presiden Safa telah berjaya menggalas tanggungjawab itu terutama dalam menjaga kebajikan pemain serta mewujudkan ikatan kekeluargaan antara pemain dan pengurusan pasukan.

Sehubungan itu, beliau berkata sewajarnya Peter dilantik terus memegang jawatan itu secara kekal dalam mesyuarat agung Safa untuk memastikan pasukan dapat mengekalkan momentum menghadapi Liga Super musim depan.

“Saya sokong beliau jadi presiden kerana mempunyai keyakinan kepadanya sebagai orang muda dan ada dedikasi yang tinggi terhadap pasukan.

Pemangku Presiden SAFA Datuk Peter Anthony dan Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating bersama pemain menjulang piala kejuaraan Liga Premier 2019 di astaka Grand Stand Stadium Likas.

“Kebajikan semua pemain dijaga kerana penting untuk membawa pasukan ke arah lebih jauh, walaupun ada pemain dari luar tetapi mereka dilayan seperti keluarga, oleh itu saya mahu beliau teruskan, jangan rosakkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Kelantan malam tadi.

Mohd. Shafie berkata, corak pentadbiran yang dibawa Peter ke dalam Safa adalah sama dengan kerajaan negeri iaitu mengamalkan tadbir urus yang baik dan telus sepanjang masa.

Katanya, pasukan bola sepak negeri adalah milik rakyat sama seperti kerajaan Warisan yang dipilih rakyat, justeru pemimpin perlu bertanggungjawab dan amanah jika tidak kerajaan itu atau pasukan yang dibimbing akan rosak.

“Kita melalui liku-liku kalau diingat kembali perubahan yang dibuat, bukannya mudah, saya berbincang dengan ramai orang saya kata pemimpin yang ada dalam pasukan mesti betul.

“Kita lihat bukan hanya di negara kita malah mana-mana pasukan pun berlaku pertukaran pemimpin tetapi yang penting ialah kepimpinan dibawa dan sebab itulah saya beritahu Peter awak perlu pimpin pasukan,” katanya.

Pemain Sabah bergambar sambil menjulang Piala Liga Perdana selepas menamatkan perlawanan bersama Kelantan di Stadium Likas. – Foto Khairull Azry Bidin

Mengulas tentang ganjaran untuk pasukan selepas menamatkan kemarau kejuaraan selama 23 tahun, Mohd. Shafie berkata, habuan memang ada namun biar diumumkan oleh Safa selepas ini.

Menurutnya, beliau tidak mahu pemain bermain semata-mata untuk mengejar ganjaran tetapi mereka perlu mempunyai rasa bangga menyarung jersi pasukan dan bekerja keras mencapai kemenangan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *