RM200,000 Untuk Pembinaan Jeti Baharu Di Sitompok, Kuala Penyu

Salahuddin (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Penyu, Mohd Yusof Mohamad sebagai bantuan segera membina jeti Sitompok yang baharu sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan di Kuala Penyu.

KUALA PENYU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengumumkan bantuan segera sebanyak RM200,000 bagi pembinaan jeti Sitompok yang baharu di sini, hari ini.

Bantuan segera itu diberikan susulan keadaan jeti yang sudah daif dan memerlukan pembinaan baharu untuk kegunaan nelayan di Kuala Penyu.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata bantuan segera itu diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi nelayan untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka.

Sehubungan itu beliau mahu pembinaan jeti Sitompok dilakukan dengan segera bagi memajukan industri nelayan di kawasan berkenaan.

“Bantuan segera ini akan membantu nelayan di Kuala Penyu dan saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyiapkan jeti ini mengikut masa yang telah ditetapkan.

“Dengan itu, jeti ini (jeti baharu) akan dapat digunakan dalam masa terdekat dan saya juga berharap semua pihak berkaitan termasuk wakil rakyat kawasan ini akan dapat bekerjasama,” katanya dalam sidang media selepas majlis ramah masa bersama nelayan dan Agropreneur Muda Sabah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Pada majlis itu, Salahuddin menyampaikan replika cek RM200,000 kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Penyu, Mohd Yusof Mohamad dan juga replika cek sebanyak RM342,000 geran kepada Agropreneur Muda Sabah.

Mengenai agropreneur muda Sabah, Salahuddin berkata beliau positif dengan usaha usahawan muda di negeri ini yang berjaya khususnya dalam sektor perikanan.

“Sebenarnya, satu saja kata kunci yang saya dapati sepanjang setahun menerajui kementerian ini ialah mereka yang benar-benar berusaha akan berjaya dan bantuan kerajaan itu jika disampaikan kepada golongan sasaran, mereka akan berjaya… itu formulanya.

“Jadi, bila kita dan pegawai turun padang, melihat sendiri kepada semua projek termasuk pertanian dan kita memang melihat mereka yang dibantu itu benar-benar ada kebun, ada tempat yang diusahakan, dia akan berjaya.

“Kita akan bantu usahawan muda, jika mereka ada projek dan jika mereka gagal, kita akan beri khidmat nasihat. Bagi usahawan yang sudah berjaya, kita akan membantu membesarkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Mengenai industri yang berpotensi dibangunkan di Sabah, beliau berkata industri rumpai laut di Semporna antara yang perlu diterokai dan akan menjadi fokus.

“Hab rumpai laut masih belum lagi dapat dibangunkan dan kita akan fokus kepada industri ini,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *