Lebih Enam Ribu Geran Tanah Akan Dikeluarkan Diseluruh Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan sebarang permohonan tanah yang dikemukakan oleh rakyat asalnya kedudukan tanah itu tidak mempunyai pertelingkahan dengan hutan simpan yang diwartakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, sehingga kini lebih 6,000 geran tanah di daerah-daerah seluruh Sabah telah dipohon dan apabila prosesnya siap, pengeluaran geran akan diberikan kepada pemohon yang layak tidak lama lagi.

“Kita faham geran tanah ini penting kepada rakyat kerana mereka sudah memohon berpuluh tahun yang lalu. Maka, usaha perlu diambil bagi membolehkan geran ini diberikan kepada pemohon yang layak.

“Tetapi permohonan yang dibuat harus mengikut prosedur yang betul bukannya dengan cara menceroboh. Kena ada asas dalam membuat permohonan.

“Bagi pihak kerajaan, kita akan meneliti dan melihat kedudukan tanah yang dipohon. Sekiranya tiada pertelingkahan dengan hutan simpan seperti hutan simpan kelas satu atau kelas dua, maka permohonan itu akan dipertimbangkan kepada mereka yang berhak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JTU, Penyerahan Geran Bersubsidi, Perasmian Bangunan Unit Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas), Pelancaran JTU Dashboard serta jamuan Hari Raya Aidilfitri 2019, di Dewan Serbaguna Wisma JTU, di sini pada Selasa.

Mohd Shafie turut menyampaikan 3,547 geran subsidiari (strata title) untuk unit kediaman dan unit komersil di sekitar bandaraya, Penampang dan Tuaran.

Memandangkan geran subsidiari ini masih atas nama pemaju, beliau menyarankan syarikat pemaju memindah milik geran kepada pembeli unit kediaman dan unit komersil pada tahun ini.

Beliau turut menasihatkan individu yang sudah menerima geran tanah supaya memajukan tanah yang ada dan bukan menjual tanah itu kepada orang lain.

Katanya, tanah perlu diurus dengan baik jika ingin mendapatkan hasil yang berpanjangan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berharap pendekatan baharu JTU yang dilancarkan itu akan membantu meningkatkan keupayaan JTU dalam melaksana dasar pengurusan tanah dengan lebih baik.

“Kita kena maju ke hadapan dengan meningkatkan daya upaya kita dalam memberikan perkhidmatan yang baik supaya pengurusan permohonan geran tanah dapat dipercepatkan. Kita juga kena pastikan tanah yang dimiliki itu tidak dijual sebaliknya akan dibangunkan bagi memperolehi hasil,” ujarnya.

Beliau juga memberi kebenaran untuk JTU memohon penambahan kakitangan sekiranya perlu kerana jabatan itu dapat menyumbang hasil yang banyak kepada pendapatan negeri Sabah.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *