Umur 31 Kini Bukan Lagi Belia Tetapi ‘Orang Tua’

Bagi mana-mana individu yang berumur 31 tahun ke atas, anda kini bukan lagi seorang belia tetapi mungkin boleh dianggap sebagai seorang yang sudah berumur.

Takrifan belia di negara ini kini adalah bagi mana-mana individu yang berumur 15 hingga 30 tahun selepas pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang (RUU) yang dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu meminda takrif ‘belia’ dan ‘pertubuhan belia’ bagi menurunkan had umur maksimum belia dan anggota pertubuhan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Menurut Syed Saddiq, pindaan berkenaan bertujuan memastikan lebih ramai golongan belia terutama yang berumur 30 tahun ke bawah menjadi pemimpin bukannya dimonopoli oleh pemimpin lama yang ‘sudah tua’.

“Apa implikasinya? Jika mengekalkan had kepada umur 35 atau 40 tahun, kita tidak beri peluang kepada pemimpin muda lain untuk mengetuai pertubuhan-pertubuhan belia di Malaysia.

“Dan wajah-wajah yang sama sahaja akan mengetuai tanpa peluang dan ruang dibuka. Implikasi kedua adalah peruntukan daripada kerajaan atau tajaan akan didominasi oleh kumpulan yang sama sahaja,” katanya ketika menggulung pindaan berkenaan.

RUU itu diluluskan selepas 17 ahli Parlimen membahaskan pindaan tersebut.

Semasa perbahasan, beberapa ahli Parlimen menyuarakan kerisauan tentang pindaan tersebut kerana dilihat dibuat tergesa-gesa dan melihat penurunan umur kepada 35 adalah lebih sesuai.

Kata Syed Saddiq, bantuan kerajaan terutama pemberian dana kini boleh difokuskan kepada aktiviti untuk golongan berusia antara 15 tahun hingga 25 tahun yang mudah terdedah kepada pelbagai masalah sosial.

Tambahnya, bagi mana-mana individu berumur lebih 30 tahun yang kini menjawat jawatan dalam pertubuhan belia, mereka tidak perlu meletakkan jawatan serta-merta.

Namun katanya, mereka selepas ini perlu bersedia melakukan peralihan jawatan kepada individu yang selayaknya mengikut umur dan mempunyai kepimpinan.

BorneoToday