Doktor Ini Menemui Cicak Yang Masih Hidup Dalam Telinga Pesakitnya

Cicak (gambar kiri) yang ditemui oleh Varanya Nganthavee (kanan) di dalam telinga pesakitnya.

THAILAND: Hari pertama bertugas sememangnya perkara yang mendebarkan kerana kita bakal menempuh alam pekerjaan di tempat yang baru. 

Bagi Varanya Nganthavee yang baru menjalani hari pertamanya sebagai doktor, dia terkejut apabila menerima pesakit yang telinganya dimasuki cicak. 

Difahamkan, pesakit itu datang mengadu mengalami kesakitan di dalam telinganya yang sangat luar biasa. 

Seperti biasa, Dr Nganthavee mula memeriksa saluran telinga pesakit dan mendapati ada sesuatu yang merangkak di dalamnya. 

Setelah diamati, ia bukanlah serangga tetapi seekor cicak. 

“Saya sangat keliru, macam mana cicak yang besar itu boleh merangkak ke dalam saluran telinganya yang kecil itu?” 

Dr Nganthavee kemudian cuba mengeluarkan cicak itu dengan menitis ubat antibiotik dan meminta pesakit mengiringkan kepalanya sebelum jururawat berjaya mengeluarkan haiwan kecil itu menggunakan penyepit. 

Agak menakjubkan cicak yang terperangkap dalam lubang telinga pesakit masih hidup walaupun sudah dua hari berada di dalam telinga lelaki itu. 

Bimbang jika masih ada sebahagian anggota badan cicak itu berada di dalam telinga, Dr Nganthavee merujuk pesakit itu ke bahagian pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) yang kemudian mengesahkan tiada bendasing yang berada di dalam telinga pesakit. 


Sumber: Asia One / TheReporter