Air Minuman Starfresh & Waterfuns Ditarik Balik Dari Jualan Dipasaran

(Gambar kpkesihatan.com)

Kilang yang mengeluarkan air minuman jenama berbungkus (AMB) Starfresh dan Waterfuns diarahkan menarik balik produk itu di pasaran tempatan selepas dikesan tercemar dengan bakteria “pseudomonas aeruginosa”.

Kementerian Kesihatan turut menggantung lesen AMB kilang berkenaan berkuatkuasa 28 Jun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil pemeriksaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di kilang produk tersebut mendapati, program jaminan keselamatan makanan tidak dilaksanakan dengan berkesan.

“Aktiviti pemprosesan dan pengeluaran AMB bagi tujuan perdagangan atau perniagaan tidak dibenarkan dan pihak kilang diarahkan untuk menjalankan tindakan pembetulan dalam tempoh penggantungan lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) dilapor mengarahkan produk minuman jenama Starfresh ditarik balik daripada pasaran Singapura selepas dikesan tercemar bakteria berkenaan melibatkan produk yang berisipadu 1,500ml dan 500ml dengan tarikh luput pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021.

Noor Hisham berkata hasil analisis terhadap jenama Starfresh yang dieksport ke Singapura dan jenama Waterfuns yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan dan Peraturan-peraturan Makanan.

Katanya, pihak kilang juga akan menarik balik secara sukarela lain-lain jenama produk AMB yang terlibat iaitu Iceberg, Sukahati, Rofina, Dixy Green dan Dixy Blue.

“KKM menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan di bawah Akta Makanan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna yang membeli produk AMB dengan jenama dan tarikh akhir yang terlibat agar tidak minum produk tersebut.

Bakteria “pseudomonas aeruginosa” yang boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan serta tanah boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan yang rendah.

Noor Hisham turut meminta pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung perkara itu atau sebarang isu keselamatan makanan supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *