SANDAKAN: Seorang wanita dikenakan hukuman penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas kesalahan terlibat dalam aktiviti menjual judi haram.
Majistret Sofia S. Sawayan menjatuhkan hukuman itu terhadap Arnifa Abu Bakar, 34, setelah mengaku bersalah melakukan kesalahan itu yang didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Tertuduh didapati memiliki satu unit mobile printer, satu telefon bimbit, sekeping kertas kecil tercatit nombor disyaki loteri awam haram, pen dan wang tunai RM157, semasa ditangkap pihak polis yang menjalankan Ops Dadu/Cantas di kawasan kaki lima belakang restoran Cittakoko, Pekan BDC kira-kira jam 4.20 petang pada 22 Jun lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh bekerja menjual judi nombor loteri awam haram sejak Ogos 2018 dengan dibayar gaji sebanyak RM1,000 oleh majikan yang dikenali dengan nama Ah Ken.
Sementara itu, dalam kes yang sama seorang lagi wanita, Ho Kam Sing, 66 dikenakan hukuman penjara satu hari dan denda RM3,500 atau dua bulan penjara.
Ho didakwa memiliki satu unit mobile printer, satu telefon bimbit, sekeping kertas tercatit nombor judi loteri awam haram dan wang tunai RM247.
Dia ditahan pihak polis pada 23 Jun lalu kira-kira jam 5.25 petang di Kedai King’s & King’ Foto, Lot 2, Blok 2, tingkat bawah Sedco Light Industrial, Batu 2 1/2, Jalan Utara di sini kerana disyaki membantu menjalankan kegiatan menulis nombor judi loteri awam.
Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Tan Hiap Wah.