Dewan Rakyat Hari Ini Lulus Usul Wajibkan Ahli Parlimen Isytihar Harta

Datuk Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.

Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada Ahli Parlimen pembangkang.

“Masalahnya ialah usul seperti dikemukakan oleh menteri hendaklah dipersetujukan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang bersetuju kata bersetuju, yang tidak bersetuju kata tidak. Tidak ada suara yang tidak bersetuju, (jadi) usul dipersetujukan sebulat suara,” katanya.

Berdasarkan usul itu, semua Ahli Parlimen, perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Senarai nama Ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta sahaja yang akan dipaparkan di portal berkenaan selama tempoh tiga bulan daripada tarikh penerimaan Akuan Berkanun oleh SPRM.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Jika Ahli Parlimen didapati membuat perakuan tidak benar, individu itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Vui Keong ketika menggulung perbahasan usul itu, berkata rakyat berhak mengetahui pendapatan dan harta Ahli Parlimen kerana kedudukan mereka hari ini dipilih oleh rakyat.

“Tidak timbul persoalan berhubung punca kuasa kerana saya sendiri sebelum membentangkan usul ini, ada berjumpa dengan Speaker Dewan Rakyat minggu lalu dan beliau berpuas hati dengan usul ini.

“Dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan juga ada 10 daripada mereka yang belum mengisytiharkan harta. Sebab itu kita membentangkan usul ini supaya mereka mengisytiharkan harta yang dimiliki,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Vui Keong berkata, semua Ahli Parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang, diwajibkan untuk mengisytiharkan harta setiap dua tahun.

Bagaimanapun, katanya, jika ada pertambahan atau pelupusan aset sebelum tempoh itu, Ahli Parlimen boleh memaklumkannya kepada Speaker Dewan Rakyat yang akan menyampaikannya kepada SPRM.

“Misalnya jika dalam dua tahun ini saya akan jual harta tertentu dan mendapat wang sebanyak RM500,000, saya boleh maklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat selaku penjaga maklumat, akan beri salinan kepada SPRM,” katanya.

Terdahulu, pada sesi perbahasan usul itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang menolak usul yang dikemukakan Vui Keong dengan menyifatkannya sebagai tergesa-gesa dan tidak mengikut prosedur.

Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mempersoalkan usul itu dan menyifatkan Dewan Rakyat tiada kuasa untuk menghukum mana-mana wakil rakyat yang tidak mengisytiharkan harta.

“Kita bukan tidak menyokong tetapi apa punca kuasa Dewan Rakyat untuk menghukum (Ahli Parlimen tidak isytihar harta). Kita agak malu jika kerajaan meneruskan perkara ini.

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-PBB Santubong), berkata pembentangan usul itu tidak mengikut garis panduan dan kaedah yang betul.

“Sepatutnya usul itu diberikan kepada Peguam Negara untuk dirangka kemudian diberikan kepada kepada wakil rakyat untuk diteliti dan kemudian baru ia dibentangkan.

“Saya nak tanya di mana landasan undang-undang dan kuasa kita nak buat usul ini? Sebagai contoh, jika seseorang itu ahli perniagaan, hari ini isytihar dan esok ada pendapatan lebih, nak isytihar balik?” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *