Kerajaan PH Perlu Contohi Kesepakatan, Perpaduan Kaum Di Sabah

KOTA KINABALU: Perpaduan kaum di Sabah yang masih utuh dan kuat meskipun berbeza bangsa dan agama perlu dijadikan teladan oleh seluruh rakyat di negara ini khususnya kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Pusat.

Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata meskipun memiliki jumlah kaum yang paling ramai di negara ini rakyat Sabah mahupun Sarawak dapat hidup bersama dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Itulah keindahan Sabah. Jika melihat jumlah suku kaum, saya fikir Sabah mempunyai jumlah kaum yang banyak iaitu 38 kesemuanya namun rakyat negeri ini masih boleh hidup bersatu padu walaupun berbeza bangsa dan agama.

“Walaupun politik keagamaan, bangsa memang wujud di Malaysia tetapi daripada segi stabiliti tidak ada lagi negeri yang boleh kalahkan Sabah,” katanya ketika berucap dalam majlis Semarak Aidilfitri dan Sambutan Kaamatan Pemuda Pakatan Harapan Sabah 2019 di sini malam tadi.

Hadir sama dalam majilis itu ialah Menteri Belia dan Sukan negeri, Phoong Jin Zhe; Ketua Pemuda PH Sabah, Raymond Ahuar dan Ketua Pemudah Amanah Negara, Sanny Hamzah.

Syed Saddiq berkata resepi yang sangat jelas iaitu kesatuan adalah kekuatan utama Parti Warisan Sabah (Warisan) dan PH yang bukan hanya sekadar cukup dengan kejayaan menukar kerajaan terdahulu sebaliknya perlu bekerja keras untuk mengekalkannya.

Sebagai Ketua Pemuda PH, beliau menambah ahli dan pemimpin perlu bekerja kuat untuk memastikan tembok yang memisahkan mereka dapat dipecahkan serta dapat membina lebih banyak jambatan bersama.

Syed Saddiq yakin semangat perjuangan Pemuda Harapan yang tinggi dapat merapatkan saf dalam kalangan kepimpinan dan ahlinya.

“Tadi kita ada membincangkan perpaduan di antara parti, kalau sebelum pilihan raya umum kita kuat, kekuatan itu perlu ditambah dan saya mewakili pimpinan tertinggi Bersatu menegaskan bahawa kami menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Sabah.

“Beliau bukan sahaja seorang Ketua Menteri, malah sebelum pilihan raya umum lalu saya banyak kali bertemu dan meminta nasihat beliau bagaimana beliau boleh mengembleng tenaga anak muda di Sabah supaya kita boleh lakukan perkara sama di Semenanjung,” katanya.

Syed Saddiq yakin dalam PH mahupun Warisan tidak ketandusan pemimpin yang amanah dan berintegiriti kerana prinsip itu yang telah membawa kedua-dua kepimpinan itu ke hadapan dan mencetuskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan hari ini.

SabahNewsToday