Ahli Warisan Cecah 300,000 Diseluruh Sabah

Jaujan (dua dari kiri) menyempurnakan Program Penyerahan Kad Keahlian Parti Warisan Sabah Bahagian Semporna. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

AHLI WARISAN CECAH 300 RIBU SELURUH SABAH

Parti Warisan Sabah (Warisan) di daerah ini mencecah jumlah keahlian seramai 30,000 orang iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota parti itu di Sabah yang berjumlah 300,000 ahli.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata selain itu Warisan Bahagian Semporna pula mempunyai sebanyak 22 cawangan setakat ini manakala 606 cawangan lagi dalam proses pendaftaran.

“Jumlah bilangan ahli itu tidak penting tetapi yang penting adalah kualiti…tak guna ramai ahli tetapi parti tidak mampu membangun dan membawa kemajuan kepada negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas Program Penyerahan Kad Keahlian Parti Warisan Sabah Bahagian Semporna, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Warisan menasihat ahli parti itu agar tidak berjuang seperti lalang sebaliknya penuh disiplin dan tekad yang tinggi demi membela dan memperjuang nasib rakyat.

“Semangat perjuangan parti perlu ditingkatkan sebagaimana usaha yang ditunjukkan ketika mendapatkan kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Perjuangan parti bukan perjuangan permainan tetapi untuk membangun negeri dan juga berkepentingan sebagai kesinambungan perjuangan yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang.

“Saya masih ingat semangat perjuangan yang begitu tinggi berkobar-kobar sehingga kita dapat menumbangkn kerajaan terdahulu, jadi semangat ini perlu diteruskan,” jelasnya.

SabahNewsToday