Nasihat Kepada Ahli Warisan, Jangan Seperti ‘Lalang Ikut Angin’

Foto Bernama

SEMPORNA, 29 Jun – Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Jaujan Sambakong, menasihatkan anggota parti berkenaan agar tidak seperti ‘lalang ikut angin’ iaitu tidak teguh dengan pendirian.

Katanya, anggota parti berkenaan perlu memegang teguh perjuangan parti, demi memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini.

“Tanpa semangat juang yang tinggi, sudah tentu bukan sahaja kekuatan malah untuk membangunkan Sabah dan memenuhi tuntutan rakyat sukar dilaksanakan seperti yang telah dirancangkan.

“Ketika penubuhan parti ini, kita menunjukkan semangat yang berkobar-kobar sehingga dapat menumbangkan kerajaan terdahulu, dan saya mahu semangat itu diteruskan kerana kita telah menjadi kerajaan,” katanya pada Program Penyerahan Kad Keahlian Parti Warisan Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Jaujan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata rakyat Sabah juga perlu memberi ruang dan masa kepada kerajaan untuk menyusun jawatan, agensi kerajaan dengan perancangan untuk membangunkan negeri ini.

“Perancangan ini pasti dapat dilaksanakan sekiranya rakyat bersabar dengan semangat juang yang tinggi kerana bukan mudah untuk melaksanakan pembangunan kerana ia mengambil masa,”katanya.

— BERNAMA