Saya Tidak Pernah Kata Hentikan Projek TAED: Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menjelaskan, beliau tidak pernah menyatakan supaya Projek Tanjung Aru Eco Development (Taed) dihentikan.

“Saya kata, kita perlu lihat terlebih dahulu apa yang projek ini boleh bawa untuk memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

“Kerajaan negeri akan buat beberapa penyelarasan semula supaya rancangan Projek Taed ini melibatkan skala yang lebih kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media bagi mengulas mengenai isu Projek Taed selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Raya Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, di sini pada Khamis.

Shafie berkata, ada beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira membabitkan projek berkenaan.

“Kita tahu ada tentangan yang kuat terutama daripada badan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu ini.

“Tetapi bagi saya apa yang lebih penting adalah untuk melihat manfaat projek ini secara menyeluruh kepada Sabah.

“Saya juga sudah menyatakan kepada Yang Berhormat Jannie Lasimbang dan Jenifer Lasimbang kerana sudah tentu mereka ada pendirian yang kita perlu hormati.

“Ada pertimbangan yang mungkin mereka mahu dan kita perlu sedar mengenai perkara itu,” jelasnya.

Beliau berkata, rancangan penyelarasan semula itu antaranya tidak akan melibatkan kawasan ‘First Beach’ dalam pembangunan Projek Taed.

Pihaknya juga akan melihat beberapa pelan terdahulu yang sudah disiapkan untuk penyelarasan berkenaan.

Dalam pada itu, Shafie turut menjelaskan isu pembinaan Projek Empangan Papar perlu dilihat secara serius berhubung manfaatnya kepada rakyat dan negeri ini secara menyeluruh.

“Apa yang penting, jika ada keperluan kita akan pastikan ia dapat memenuhi keperluan hidup rakyat,” katanya.

Utusan Borneo