Musa Bertanggungjawab Jika UMNO Sabah Terima Dana 1MDB

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang sebelum ini merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah adalah individu yang tahu dan bertanggungjawab jika parti itu turut menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dakwaan kononnya beliau sendiri turut menerima wang 1MDB adalah satu pembohongan kerana Musa yang bertanggungjawab menguruskan UMNO Sabah pada waktu itu.

Tambahan pula, kata Mohd. Shafie, beliau adalah antara pemimpin Kabinet Persekutuan yang lantang mengkritik penyalahgunaan dana 1MDB sehingga menyebabkannya dilucutkan daripada jawatan berkenaan.

MUSA AMAN

“Jika wang itu diberikan kepada UMNO Sabah bagaimana saya boleh menolak? Saya bukan pengerusi perhubungan, dia adalah Musa Aman.

“Malah saya ialah salah seorang menteri Kabinet yang bercakap menentang penyalahgunaan dana 1MDB pada masa itu,” katanya ketika menjawab kenyataan Presiden Gerakan, Dominic Lau yang meminta Mohd. Shafie dan bekas pemimpin UMNO memulangkan wang yang berkaitan 1MDB.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyaman 41 individu dan entiti bagi melucutkan hak ke atas pelbagai harta dan wang yang dipercayai berkaitan dengan 1MDB.

Semasa isu penyelewengan 1MDB mula didedahkan kepada umum pada 2013, Mohd. Shafie adalah Naib Presiden UMNO, namun beliau tidak pernah berdiam diri sebaliknya lantang mengkritik Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperbetulkan keadaan.

Kelantangannya bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila beliau yang menjawat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada masa itu dikeluarkan daripada barisan Kabinet dan turut digantung keahlian UMNO tidak lama kemudian.

Tambah Mohd. Shafie, jika sekali pun wang 1MDB diagih-agihkan kepada UMNO bahagian pada waktu itu, keputusan tersebut dibuat oleh ahli jawatankuasa negeri.

“Saya tidak boleh cakap saya tolak kerana itu keputusan ahli jawatankuasa parti masa itu. Tetapi untuk mengatakan saya dapat dan terima duit 1MDB adalah satu pembohongan.

“Jika itu kebenarannya, kenapa saya bercakap lantang menentangnya sehingga akhirnya saya dikeluarkan daripada Kabinet Persekutuan?,” kata Mohd. Shafie.

BorneoToday