Lelaki Mati Dibelasah 12 jam

Tabrez Ansari ketika diseksa. AFP

NEW DELHI: Hanya kerana enggan melaungkan slogan lazim yang digunakan pelampau Hindu, seorang lelaki muslim dipukul hingga mati selama 12 jam.

Polis India kini memburu kira-kira sedozen orang kerana menyeksa lelaki muslim yang dikenali sebagai Tabrez selama beberapa jam hingga mati dan merakamnya dalam video yang tular sejak mangsa meninggal dunia.

Video 10 minit itu menunjukkan puluhan lelaki memukul Tabrez Ansari sambil memaksanya melaungkan slogan yang sering digunakan golongan pelampau berhaluan kanan Hindu di negara itu.

Tabrez mati di hospital pada Sabtu lalu, empat hari selepas diserang, diikat pada tiang dan dibelasah lebih 12 jam kerana kononnya melakukan kecurian di Jharkhand. Dia akhirnya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital.

“Kami sudah menahan suspek utama, namun kira-kira sedozen yang lain masih belum dikesan,” kata ketua polis Seraikela, Kartik S.

Dia turut mengesahkan video terbabit menunjukkan Ansari dipaksa melaungkan slogan berkenaan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *